Nur Elyana dibawa lari ke Kelantan
Johor Bahru: Remaja autistik yang hilang selepas keluar dari rumah keluarga di Bandar Putra, Kulai, sejak Sabtu lalu ditemukan di Tanah Merah, Kelantan, petang kelmarin.
Bapa tirinya, Mohd Azmi Abdullah, 40, berkata Nur Elyana Adryna Abdul Rahim, 16, ditemukan dengan selamat, namun sedikit kurus dan masih trauma.
Katanya, dimaklumkan oleh orang awam berhubung penemuan anak keduanya sehari sebelum ditemui.
"Alhamdulillah, kakak (Nur Elyana) ditemui di Tanah Merah, Kelantan. Syukur dia dalam keadaan selamat.
"Ada orang beritahu lokasi kakak dan saya terus menghubungi balai polis di sana dan beritahu perkara itu sebelum akhirnya mereka berjaya menemuinya.
"Saya dimaklumkan perkara itu oleh pihak polis pada jam 2 petang kelmarin sebelum bergegas ke sana," katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Azmi, anaknya memberitahu dia tidak diberikan makan secukupnya sepanjang tempoh enam hari dibawa individu tidak dikenali.
"Setibanya di sana, saya lihat keadaan kakak dalam keadaan baik, tiada kecederaan namun kelihatan sedikit kurus.
"Polis ada memaklumkan individu yang bertindak membawa kakak dari Johor hingga ke Kelantan sudah ditangkap dan siasatan sedang dilakukan. Namun polis tidak memberi sebarang maklumat lanjut," katanya.
#KomunitiJohor